~ Ceritera Raya ~

26 September 2008 at 9:07 am | Dikirim dalam ~ S.A.Y.A ~ | 21 Komen

“…Ikhlaskan hati mohon kemaafan

Leburlah dosa di tapak tangan

Lupakan segala silap dan salah…”

 

Detik-detik raya dah semakin hampir. Lagu-lagu raya pun semakin kerap berkumandang di mana-mana sahaja. Bagi saya, lagu raya yang ‘evergreen’ semuanya best. Tapi kat atas tu adalah petikan lagu raya moden nyanyian Raihan, Ajai, Rem dan Nowseeheart. Sebenarnya, saya suka part kat atas tu..rasa syahdu je. Ok, sekadar selingan.

 

Biasanya apa rutin kawan-kawan pada Hari Raya Pertama? Adakah sama atau berbeza-beza setiap tahun? Bagi keluarga saya, setiap tahun, aktivitinya tak banyak berbeza. Saya nak kongsikan apa yang berlaku setiap Hari Raya Pertama di rumah saya.

 

Takbir di Malam Raya — Di felda, kami dikumpulkan ikut blok-blok. Setiap blok ada lebih kurang 20 buah keluarga dan setiap aktiviti yang dijalankan bergantung pada blok masing-masing. Bagi blok saya, laungan Takbir Raya yang melibatkan kaum lelaki akan dijalankan dari rumah ke rumah pada malam raya. Acara ini tidak akan mengambil masa yang lama dan lazimnya tuan rumah hanya akan menyediakan air untuk minuman sahaja.

 

Bertukar Juadah — Awal pagi, acara bertukar-tukar juadah sesama jiran sudah menjadi kewajipan. Waktu ni memang best sebab dapat merasa semua masakan daripada jiran-jiran. Waktu ni juga, akan menyaksikan betapa banyaknya makanan yang terhidang di atas meja. Namun ketupat bersama rendang, kuah lodeh dan sambal kacang masakan mak jugak tetap menjadi pilihan utama.. 🙂

 

Menziarahi Pusara Arwah Bapak — Selepas Solat Sunat Hari Raya, kami sekeluarga akan menziarahi pusara arwah bapak saya. Sehingga tahun ini, sudah 20 tahun kami berhari raya tanpa kehadiran bapak.

 

Marhaban — Satu lagi aktiviti wajib untuk kaum lelaki di blok saya ialah Marhaban dari rumah ke rumah. Berbeza dengan takbir, aktiviti ini agak panjang masanya. Biasanya bermula dalam jam 10.30 pagi dan berakhir kira-kira hampir waktu Asar. Selain Marhaban, mereka juga akan diberi jamuan ringan oleh tuan rumah. Bayangkanlah sebanyak 20 rumah akan disinggah dan setiap rumah menyediakan jamuan. Memang penuh perut nak makan semuanya.

 

Kalau nak tahu, amat jarang tuan rumah menghidangkan ketupat untuk Marhaban walaupun itulah juadah utama di Hari Raya. Lazimnya, ada yang buat mee hoon, laksa, roti jala, tak kurang juga ada yang hidangkan sate. Bagi kanak-kanak, mengikut rombongan Marhaban ini adalah satu kelebihan. Selepas sahaja selesai Marhaban di setiap rumah, pasti ada duit raya yang menanti mereka.

 

Namun, saya rasa keuntungan kaum lelaki yang ada aktiviti Marhaban ini, selain silaturahim sentiasa terjalin, mereka dah tak perlu lagi datang beraya ke setiap rumah, kerana mereka dah jumpa semasa Marhaban. Kaum wanita blok saya ada juga aktiviti Marhaban, tapi biasanya diadakan seminggu selepas raya, jadi saya memang jarang dapat ikut sekali.

 

Melawat Nenek Sebelah Mak — Selepas selesai Marhaban, kami sekeluarga akan melawat mbah (nenek) sebelah mak di Muar. Kami jarang tidur di rumah mbah, memandangkan abang atau kakak tak akan lama di kampung kerana perlu juga beraya ke rumah mertua masing-masing. Jadi, Hari Raya Pertama merupakan hari yang padat buat kami sekeluarga…eheee.. 😀

 

Saya mengambil kesempatan ini:

 

1. Mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya buat kawan-kawan yang sudi mengunjungi dan memberi komen di blog saya yang tak seberapa ni. Buat yang nak balik kampung, selamat balik kampung. Semoga berbahagia di hari raya nanti ya!!

 

2. Saya memohon maaf seandainya ada tulisan di blog ini dan komen yang pernah saya berikan telah mengguris hati sesiapa. Saya harap tiada yang disimpan di dalam hati.

 

3. Saya mengucapkan SELAMAT HARI LAHIR buat Syam dari blog aeropama. Semoga kebahagiaan, kejayaan dan kesihatan sentiasa mengiringi hidup awak ye!! Semoga juga hadiah idaman tu dapat awak miliki..ehe.. 🙂 Owh ye, saya sempat menjenguk blognya tadi, ada pertandingan di situ, silalah lawati blognya ye.

 

Note : Saya akan pulang ke kampung pagi esok (Sabtu). Saya akan memandu sendirian kerana ramai kawan-kawan sekampung sudah pun pulang terlebih awal. Jadi, siapa yang nak tumpang, amat dialu-alukan 😛 . Ada ke? Kalau ada, silalah angkat tangan.. 😀

 

Note lagi : Tahun ini, tiada siapa yang akan pasang pelita di halaman rumah. Biasanya, adik saya yang kembar tu sangat rajin menghias halaman dengan lampu pelita, tapi tahun ni, mereka berdua dah keje kat KL. Mereka hanya akan sampai rumah pada malam raya nanti. Mesti tak berapa best kerana rumah akan gelap tanpa pelita.

 

Note lagi dan lagi : Tahun ni buat pertama kalinya, abang dan kakak saya akan ada serentak pada Hari Raya Pertama. Sejak mereka berkahwin, mereka bergilir-gilir pulang ke kampung. Sebelum ni, setiap raya pertama, jarang kami dapat berkumpul sekeluarga sekaligus. Tapi tahun ni pasti akan lebih meriah!!. Yaaahoooo!!! Yeeehaaa!! 😀

 

 

 

 

 

 

Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries dan komen feeds.