Nilai Mendengar

17 Julai 2008 at 12:54 am | In Motivasi | 13 Comments

listening skills argue

 

Komunikasi berkesan bermula dengan mendengar dengan baik. Siapa sahaja tentu suka apabila apa yang dicakapkannya diberi perhatian sepenuhnya oleh orang lain. Seorang anak akan rasa disayangi apabila ibu bapanya yang baru pulang kerja mendengar apa sahaja cerita yang berlaku di sekolahnya sepanjang hari. Seorang ibu yang kesepian di kampung tentu berasa seronok apabila anaknya pulang dan meluangkan masa mendengar segala celotehnya. Seorang pekerja dihargai apabila majikannya mendengar segala masalah yang berlaku di tempat kerjanya. Seorang kekasih juga merasai dicintai pasangannya apabila setiap luahan perasaannya didengari.

 

Terdapat dua kepentingan menjadi pendengar. Pertama,mendengar adalah cara terbaik untuk kita belajar. Tiada siapa pun yang tahu semua perkara di dunia ini. Jadi, dengan menjadi pendengar, kita dapat berkongsi idea dengan orang lain. Ramai beranggapan menjadi pendengar adalah pasif tetapi bercakap menunjukkan kita aktif dalam komunikasi. Namun, pendengar akan dikatakan aktif apabila dapat memberi perhatian sepenuhnya melalui cara pandangan mata, anggukan, gerak tubuh dan senyuman. Kadangkala perkataan seperti “ye ke” dan “oh gitu” juga menunjukkan kita mendengar dengan baik.

 

Kepentingan kedua ialah orang yang bercakap selalunya akan memberi respon kepada sesiapa yang beminat untuk mendengar. Secara tidak langsung, dengan mendengar kita menunjukkan rasa hormat terhadap orang lain. Kesannya kita akan disenangi oleh sesiapa sahaja. Pendengar yang baik tidak semestinya menyediakan jawapan yang bernas apabila orang lain bercerita. Namun, kita boleh menunjukkan minat dengan mendengar sahaja dulu, dan apabila orang yang bercerita itu berhenti seketika, kita boleh mencelah dengan bertanya soalan yang berkaitan dengan ceritanya tadi. Ini akan membuatkan orang yang bercakap itu dihargai dan secara tidak langsung akan menggembirakannya kerana minat yang ditunjukkan kita.

 

Kesimpulannya, jadilah pendengar yang sabar dengan hati yang terbuka. Lakukannya dengan penuh keikhlasan. Biarkan orang lain meluahkan segala idea, perasaan, cerita mereka terlebih dahulu. Setelah itu, berilah respon dengan sewajarnya. Best sebenarnya jadi pendengar..:)

 

“Nobody is more persuasive than a good listener…Dale Carnegie

 

 

 

Blog di WordPress.com. | Theme: Pool by Borja Fernandez.
Entries and comments feeds.